MANA FAKTA, MANA MITOS: Sembilan Perkara Tentang Isu Pelarian di Malaysia
MANA FAKTA, MANA MITOS: Sembilan Perkara Tentang Isu Pelarian di Malaysia
UNHCR memandang berat tentang rencana yang diterbitkan dalam Sinar Harian bertarikh 23 Mac 2021, bertajuk “Fungsi UNHCR Sudah Menyimpang” oleh kolumnis Norman Fernandez. Rencana tersebut menyampaikan pelbagai maklumat salah berkaitan dengan situasi pelarian di Malaysia yang mampu menambah kepada kekeliruan awam tentang isu ini.
Kami menyediakan Semakan Fakta di sini:
Fakta 1: Orang pelarian dan PATI adalah berbeza
Orang pelarian tidak mempunyai pilihan selain lari dari negara asal akibat peperangan dan pencabulan hak asasi manusia. Mereka tidak boleh pulang secara selamat. Mandat UNHCR adalah untuk melindungi mereka.
PATI berada di negara tanpa dokumen sah, selalunya untuk mencari pekerjaan. Mereka tetap mendapat perlindungan dari kerajaan negara mereka. Nyawa serta kebebasan mereka tidak terancam jika diusir pulang.
Fakta 2: Kedatangan baru pemohon suaka dari tahun ke tahun berkurangan secara ketara sejak tahun 2003
Menurut data dari orang pelarian, jumlah keseluruhan kedatangan baru ke Malaysia telah menurun dengan ketara sejak tahun 2003 hingga sekarang. Pada tahun 2013, jumlah kedatangan baru memuncak pada angka 28,434 pemohon suaka yang baru datang. Tetapi, angka tahunan selepas itu terus menurun.
Statistik UNHCR juga tidak menunjukkan jumlah kedatangan baru ke negara. Statistik kami menunjukkan berapa ramai orang yang UNHCR mampu daftar, bukan berapa ramai orang yang baru datang ke Malaysia.
Pada akhir Januari 2021, terdapat lebih kurang 178,701 orang pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Ini termasuk mereka yang berada di Malaysia berdekad lamanya.
UNHCR berkongsi data statistik ini dengan Kementerian dan Agensi kerajaan setiap bulan.
Fakta 3: Kad UNHCR mengesahkan seseorang itu perlukan perlindungan antarabangsa
Dokumentasi UNHCR adalah untuk satu tujuan sahaja, yakni mengiktiraf status orang pelarian dan pemohon suaka yang perlukan perlindungan antarabangsa.
Dokumen UNHCR membantu melindungi orang pelarian dan pemohon suaka dari diusir ke negara asal di mana kebebasan atau nyawa mereka mungkin terancam. Ini dikenali sebagai prinsip non-refoulement dalam undang-undang adat antarabangsa. Setiap negara terikat kepada undang-undang adat antarabangsa tanpa mengira samada ia menandatangani Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang Pelarian, atau tidak.
Kad UNHCR bukan lesen memandu, dokumen undang-undang, dokumen perjalanan, atau permit penetapan. Ia tidak memberi pemegangnya kekebalan dari tindakan undang-undang.
Fakta 4: Orang Pelarian tertakluk kepada undang-undang negara
Pemegang kad UNHCR tidak terkecuali dari undang-undang. Orang pelarian harus mematuhi undang-undang negara tuan rumah.
Bagaimanapun, mereka tidak akan kehilangan kad pelarian secara automatik jika mereka melakukan jenayah. Terdapat sebab-sebab tertentu yang menyebabkan seseorang itu terkecuali dari perlindungan antarabangsa, seperti jika dia melalukan jenayah yang melanggar keamanan, jenayah peperangan, jenayah terhadap kemanusiaan, atau lain-lain sebab yang serius.
Tetapi jika mereka melakukan jenayah tidak serius, dan telah didapati bersalah melalui prosiding undang-undang, maka orang pelarian itu dijangka menjalani proses perundangan, seperti mana-mana orang lain yang tinggal di negara itu.
Fakta 5: UNHCR berusaha menghalang pengusiran orang pelarian, bukan PATI
Setiap negara mempunyai hak berdaulat untuk mengendalikan isu PATI di wilayahnya, termasuk mengusir mereka yang menyalahi undang-undang imigresen. Tetapi di bawah undang-undang adat antarabangsa, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk tidak memaksa pulang orang pelarian ke situasi di mana nyawa atau kebebasannya terancam - tanpa mengira samada negara itu adalah pihak kepada Konvensyen 1951 Berkaitan Orang Pelarian atau tidak.
UNHCR memohon akses kepada pusat tahanan imigresen agar kami dapat asingkan orang pelarian daripada PATI. Sebaik kami mengenalpasti siapa yang perlukan perlindungan antarabangsa dan tidak boleh diusir pulang, pihak berkuasa boleh meneruskan tugas-tugas rasmi imigresen sambil yakin bahawa Malaysia tetap menegakkan prinsip antarabangsa hak asasi manusia berkaitan orang pelarian dan pemohon suaka.
Fakta 6: Penempatan semula ke negara ketiga menurun pada tahun 2020 kerana COVID-19
Pada tahun 2020, penurunan ketara dalam bilangan orang pelarian yang berangkat untuk penempatan semula ke negara ketiga (resettlement) sebahagian besarnya adalah kerana, di seluruh dunia, perjalanan antarabangsa terhenti akibat pandemik COVID-19.
Dalam hal ini juga, penting difahami bahawa penempatan semula bergantung kepada jumlah tempat yang diberi oleh negara ketiga. Keutamaan diberikan kepada orang pelarian yang paling rentan dan mereka yang perlukan perlindungan dengan segera. Kurang dari 5% dari orang pelarian seluruh dunia akan mendapat tempat di negara ketiga.
Dari tahun 2008 – Jun 2020, lebih dari 88,500 orang pelarian, termasuk pelarian Rohingya, mendapat penempatan semula ke negara ketiga.
Fakta 7: Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab melindungi orang pelarian. Begitu juga kita semua.
Perlindungan buat orang pelarian adalah tanggungjawab bersama. Tanggungjawab utama terletak pada sesebuah kerajaan untuk melindungi hak semua orang di wilayahnya, termasuk orang pelarian - walaupun negara itu bukan pihak kepada Konvensyen 1951 Berkaitan Orang Pelarian.
Dalam usaha ini, kerajaan tersebut disokong oleh komuniti antarabangsa, masyarakat sivil, pihak swasta, dan komuniti orang pelarian. Perkongsian tanggungjawab ini termasuk dalam membantu orang pelarian mendapat akses kepada kesihatan, mendapat kemahiran dan pendidikan, dan berdikari, serta membantu dalam keperluan kebajikan mereka yang paling rentan.
Fakta 8: UNHCR menyokong usaha Kerajaan dalam melindungi dan membantu orang pelarian
Fungsi utama UNHCR ialah untuk melindungi hak dan kesejahteraan orang yang tersesar secara paksa. Kami tidak melakukan tugas ini bersendirian. Di mana saja kami berada di dunia, UNHCR menyokong kerajaan dan bekerjasama dengan rakan kerja dan komuniti untuk pastikan semua orang mendapat hak memohon suaka dan mencari perlindungan di negara lain.
Di Malaysia, selama lebih empat dekad, UNHCR telah menyokong kerajaan Malaysia dalam menangani cabaran kompleks berkaitan perlindungan orang pelarian. Ini dilakukan menerusi pembabitan dengan pelbagai kementerian dan agensi dalam beberapa isu. Satu contoh adalah pembabitan dalam Jawatankuasa Bersama di mana pihak kerajaan dan UNHCR mempertimbangkan rangkakerja untuk menangani isu orang pelarian, termasuk bagaimana kerajaan boleh terlibat dalam pemberian dokumen pelarian.
Satu lagi contoh baik tentang kerjasama adalah dalam isu kesihatan, di mana UNHCR dan kerajaan Malaysia bekerjasama untuk menyokong respons negara terhadap COVID-19 dalam menghalang jangkitan di kalangan komuniti. Ketika Malaysia memulakan program imunisasi, UNHCR bersedia untuk terus memberi sokongan bila melibatkan orang pelarian dan pemohon suaka.
UNHCR komited sepenuhnya terhadap kerjasama berterusan dengan Kerajaan dalam mencari penyelesaian lebih baik untuk melindungi orang pelarian, dan pada masa yang sama, mengimbangi isu-isu nasional yang berkepentingan. Dalam hal ini. kami meneruskan dialog yang membina dengan Kerajaan Malaysia.
Fakta 9: Orang pelarian mahu pulang bila selamat
Perlindungan untuk orang pelarian tidak bermaksud orang pelarian kekal di sini selamanya. Seseorang itu tidak lagi dianggap sebagai pelarian bila tidak wujud lagi keadaan yang menyebabkan dia menjadi orang pelarian. Bagi kebanyakan orang pelarian, ini terjadi apabila mereka boleh pulang bila keadaan selamat. Tetapi, sehingga itu, mereka tidak ada pilihan selain kekal secara sementara di negara suaka.
Memberi perlindungan untuk orang pelarian tidak bererti memberi mereka tanah atau rumah atau sedekah. Dalam pengalaman UNHCR, apabila orang pelarian diperkasakan agar berdikari, mereka menjaga diri sendiri dan menyumbang kepada komuniti tempatan. Perlindungan buat orang pelarian bermaksud memberi ruang agar pihak swasta, NGO, masyarakat sivil, organisasi antarabangsa dan komuniti orang pelarian dapat bekerjasama membantu orang pelarian mendapat akses kepada kesihatan, pendidikan, dan kemahiran agar mereka tidak menjadi bebanan kepada sesiapa.
Perlindungan bermakna memberi orang pelarian ruang untuk hidup selamat dan bermaruah sehingga penyelesaian jangka masa panjang dikenalpasti bagi mereka.