Dokumen Pelarian UNHCR: Hanya untuk yang perlu perlindungan antarabangsa, tanpa mengira negara asal
Dokumen Pelarian UNHCR: Hanya untuk yang perlu perlindungan antarabangsa, tanpa mengira negara asal
Kuala Lumpur, 30 Mei 2022 - Agensi Pelarian PBB, UNHCR menegaskan bahawa dokumentasinya hanya dikeluarkan buat individu yang telah disahkan sebagai orang pelarian atau pemohon suaka yang memerlukan perlindungan antarabangsa – tanpa mengira negara asal mereka.
UNHCR memberi penjelasan terhadap beberapa artikel baru-baru ini yang mendakwa Agensi tersebut mengeluarkan dokumennya sewenang-wenang, termasuk buat individu yang dianggap tidak layak mendapat perlindungan antarabangsa.
Seorang pelarian didefinisikan sebagai seseorang yang terpaksa melarikan diri dari peperangan dan konflik, atau terpaksa melarikan diri dari penindasan di negara asal atas sebab bangsa, kewarganegaraan, kumpulan sosialnya, atau pandangan politik. Mereka telah hilang perlindungan negara sendiri dan tidak dapat pulang dengan selamat.
Menurut UNHCR, seseorang boleh disahkan sebagai orang pelarian yang memerlukan perlindungan antarabangsa jika dia memenuhi kriteria tersebut – tanpa mengira dari negara mana dia berasal.
Seluruh dunia, terdapat lebih 25 juta orang pelarian dan pemohon suaka dari pelbagai negara yang dianggap sebagai memerlukan perlindungan antarabangsa.
UNHCR turut menyatakan bahawa di Malaysia, oleh kerana tiada rangka kerja kebangsaan untuk menguruskan pemohon suaka, UNHCR mengambil tugas mengusahakan proses menetukan status orang pelarian. Ini dilakukan di bawah Mandatnya yang ditubuhkan oleh Perhimpunan Agong PBB pada tahun 1950.
Proses penentuan status orang pelarian oleh UNHCR ini melibatkan prosedur temuduga dan penyelidikan teliti berdasarkan kriteria yang telah diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Negara-negara ahlinya tentang siapkah yang dianggap sebagai orang pelarian, dan dinilaikan berasaskan maklumat negara asal.
Hanya menerusi proses kukuh dan penilaian ketat ini UNHCR dapat menentukan jika seseorang mempunyai tuntutan sah untuk mendapatkan perlindungan antarabangsa, dan beliau bukannya migran ekonomi. Dokumen UNHCR dikeluarkan kepada individu yang memenuhi definisi yang diterima antarabangsa sebagai orang yang memerlukan perlindungan suaka.
Ini dilakukan tanpa diskriminasi berdasarkan bangsa, agama, atau kewarganegaraan. Selaras dengan prinsip hak perpaduan keluarga yang diiktiraf antarabangsa, ahli keluarga tanggungan terdekat termasuk dalam proses ini.